Monday 29 December 2014

Apakah Nabi Yusuf Berkahwin Dengan Zulaikha?

Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menerima pertanyaan hukum melalui panggilan teleponBerikut adalah penjelasan hukum yang diberikan dan telah diperakui oleh oleh SS. Mufti Dato' Murshid Diraja Dr. Juanda bin Jaya.


Soalan:
Ramai yang mendakwa Nabi Yusuf akhirnya berkahwin dengan Zulaikha yang menggodanya. Benarkah cerita ini?



Jawapan:
Pertama: Para ulama berbeza pandangan tentang nama isteri pembesar Mesir yang menggoda Nabi Yusuf. Ada yang mengatakan namanya Ra’iel (راعيل), ada pula yang mengatakan namanya Zulaikha (زليخا). Al-Hafidz Ibn Kahir seperti menyokong Zulaikha itu adalah gelaran atau laqabnya. 
Kedua: Tidak terdapat bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang mengiya atau menidakkan kisah yang mendakwa Nabi Yusuf akhirnya berkahwin dengan Zulaikha. Cumanya kisah ini didatangkan antaranya oleh seorang ahli sirah yang terkenal iaitu Muhammad bin Ishak.

Selain Ibn Ishak, kisah ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam al-Tafsir 7/2161, dari jalan Salamah daripada Ibn Ishak. Demikian juga al-Tobari di dalam Jami’ al-Bayan 16/151. Terdapat juga kisah yang seumpama ini dari Zaid bin Aslam dan dari Wahab bin Munabbih yang terkenal sebagai seorang yang suka mendatangkan riwayat dari Isra’iliyyat (sumber cerita dari Ahli Kitab).

Kami ingin peringatkan bahawa tidak perlu menyibukkan diri dengan kisah-kisah seumpama ini dan mencari-cari perincian yang tiada faedah. Kerana itu Allah SWT tidak memperincikan kisah ini di dalam al-Quran. Sekiranya kisah seumpama ini memiliki faedahnya sudah tentu ia akan diceritakan oleh Allah SWT ataupun melalui lidah Rasulullah SAW. Kerana itu al-Syeikh al-Sa’diy RH di dalam kitab Tafsirnya dipermulaan surah Yusuf berkata:
واعلم أن الله ذكر أنه يقص على رسوله أحسن القصص في هذا الكتاب، ثم ذكر هذه القصة وبسطها، وذكر ما جرى فيها، فعلم بذلك أنها قصة تامة كاملة حسنة، فمن أراد أن يكملها أو يحسنها بما يذكر في الإسرائيليات التي لا يعرف لها سند ولا ناقل وأغلبها كذب، فهو مستدرك على الله، ومكمل لشيء يزعم أنه ناقص، وحسبك بأمر ينتهي إلى هذا الحد قبحاً، فإن تضاعيف هذه السورة قد ملئت في كثير من التفاسير، من الأكاذيب والأمور الشنيعة المناقضة لما قصه الله تعالى بشيء كثير. فعلى العبد أن يفهم عن الله ما قصه، ويدع ما سوى ذلك مما ليس عن النبي صلى الله عليه وسلم ينقل.
Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa Allah SWT telah menyebut bahawa DIA akan menceritakan kepada RasulNya (Muhammad SAW) sebaik-baik kisah di dalam al-Quran. Setelah itu DIA menceritakan kisah Nabi Yusuf dengan panjang lebar. DIA (SWT) menyebut apa yang berlaku. Maka dengan itu dapat diketahui bahawa kisah yang diceritakan olehNya telah sempurna, lengkap dan baik. Maka sesiapa yang menghendaki menyempurnakannya lagi atau memperelokkannya lagi dari cerita-cerita al-Isra’iliyyaat yang tidak diketahui sanad dan siapa yang menceritakannya bahkan kebanyakannya adalah cerita dusta, ini bermakna orang itu hendak melakukan penilaian ke atas Allah, dan menyempurnakan sesuatu yang disangkanya masih ada kekurangan. Cukuplah dengan kejelekan perkara ini, sesungguhnya tambahan-tambahan tentang surah ini (Surah Yusuf) telah dipenuhi dalam kebanyakan kitab tafsir, tambahan-tambahan itu terdiri dari kisah-kisah dusta dan banyak perkara-perkara rekaan/buruk yang bertentangan dengan apa yang diceritakan oleh Allah Taala. Justeru bagi seseorang hamba itu hendaklah dia memahami apa-apa yang diceritakan oleh Allah dan meninggalkan selain dari itu yang terdiri dari apa-apa yang tidak dinukilkan dari Nabi SAW.”
Wallahu a’lam. 

No comments:

Post a Comment